Isnin, 27 Julai 2009

Aku Rasa Nak Gila! Jiwa Aku Begitu Tertekan! Tolonglah Aku..

Tahun 2009 ini, bagi aku adalah merupakan satu tahun yang penuh dengan tekanan. Bukan tekanan terhadap kehidupan tetapi tekanan mental dan emosi kerana faktor kerja. Secara jujur, semenjak penghujung Februari 2009, aku merasakan yang minat aku terhadap kerja menjadi merosot, begitu juga dengan disiplin, produktiviti dan kualiti kerja aku. Aku cuba untuk mengubah, aku cuba untuk bertahan tetapi semakin lama apa yang aku rasakan emosi aku menjadi tidak stabil, kesihatan aku menjadi terganggu, dan yang aku paling takut adalah aku akan hilang minat terhadap kerjaya aku sekarang.

Aku sayang kerja aku, ini adalah minat aku dari kecil, mungkin? Tapi aku dapat merasakan yang kerjaya aku sekarang sebagai Pembantu Perpustakaan sememangnya sebahagian daripada keinginan dan minat aku. Mungkin ramai yang diluar sana merasakan kehidupan aku ini sempurna, tambahan aku bekerja dengan Kerajaan. Ya memang aku akui aku bangga bekerja dengan Kerajaan, dan sememangnya itu adalah harapan aku dan keluarga aku. Tapi sekarang jiwa aku terlalu kosong, memang aku mampu melemparkan seyuman kepada sesiapa sahaja, tapi di dalam hati aku hanya Tuhan sahaja yang tahu.

Bukan niat aku untuk menunding jari mencari kesalahan sesiapa, tapi ini adalah realitinya apabila kita bertugas dalam skim gunasama. Aku merupakan kakitangan Perpustakaan Negara Malaysia, dan untuk makluman kalian apabila aku mendapat tawaran memasuki sektor awam, aku terus ditugaskan di Perpustakaan Mahkamah Miri. Kali pertama aku menjejakkan kaki disana, aku membawa satu semangat yang berkobar-kobar, aku ingin menjadi seorang pekerja yang cemerlang, ya itulah impian aku. Namun semakin lama aku mula merasakan yang aku tidak memahami apa sebenarnya bidang tugas aku di perpustakaan ini. Aku tidak langsung pernah menerima mana-mana latihan sebelum dilepaskan ke sini, meskipun dilatih di Perpustakaan Mahkamah Persekutuan. Tapi aku tetap bersabar dan memikul amanah yang diberikan tanpa sebarang rungutan. Aku tabahkan diri aku menghadapi semuanya, walaupun aku keseorangan menguruskan perpustakaan ini. Ya aku keseorangan! Aku lah Pembantu Perpustakaan, aku lah Pembantu Am Pejabat, aku lah Pembantu Tadbir Rendah dan aku lah juga tukang sapu. Mungkin ramai tidak percaya dengan kenyataan aku ini, tapi ini adalah kebenarannya, kebenaran yang aku terpaksa lalui setiap detik, masa, hari, bulan dan tahun.

Jawatan Pembantu Perpustakaan di Mahkamah Miri ini telah lama kosong semenjak tahun 2000 lagi. Maka apabila aku mula berkhidmat disini aku terpaksa menyelesaikan tugas yang tertangguh 6 tahun dahulu dan mengenepikan tugas-tugas aku sekarang. Dalam Perpustakaan Mahkamah, seorang Pembantu Perpustakaan perlu mengemaskinikan segala akta dan ordinan, cuba bayangkan dari tahun 2000 sehingga 2006, begitu banyak akta dan ordinan yang perlu dikemaskinikan belum kira lagi sehingga tahun 2009 ini. Bebanan semakin menjadi-jadi apabila sesetengah akta pindaan telah hilang, ya kita mungkin dapat mencari melalui pangkalan data yang disediakan oleh Percetakkan Nasional Berhad namun di sini kemudahan internet tidak disediakan langsung apatah lagi set komputer, sememangnya tidak ada disediakan. Nasib baik apabila aku dah menerima gaji, aku membeli laptop aku sendiri, dan aku bersyukur ada kemudahan internet wyreless secara percuma di Miri. Namun kadang-kadang sambungannya tidak ada bergantung kepada cuaca mahupun masalah teknikal.

Beban kerja aku disini sememangnya banyak, aku uruskan peminjaman dan pemulangan buku, aku uruskan pengemaskinian akta, aku juga uruskan invois, penerimaan stok, merekodkan buku-buku, memasukkan rekod dalam sistem ILMU, pembinaan koleksi-koleksi perpustakaan sehinggalah ke urusan surat0menyurat. Aku tidak memerlukan pujian daripada kakitangan dan pegawai-pegawai di dalam gred L (ski perkhidmatan Perundangan dan Kehakiman), tapi aku perlu supaya apa yang aku lakukan selama ini dihargai. Apa yang membuatkan aku kecil hati, marah, sedih dan tertekan apabila mereka-mereka dari gred L ini menganggap tugas sebagai seorang Pembantu Perpustakaan adalah senang dengan kata lain LANGSUNG TIDAK ADA KERJA. Ya itu lah yang selalu mereka katakan kepada aku, kerja aku hanya jaga kaunter. Tapi pernah ke mereka memahami apa tugas hakiki aku sebenarnya? Pernah ke mereka melihat apa yang aku lakukan di dalam perpustakaan?

Ada seorang pegawai yang baru berkhidmat di Mahkamah Tinggi, kerana aku tidak memiliki printer di perpustakaan, aku membuat segala urusan surat-menyurat di Registri Mahkamah Tinggi. Apa yang aku dapat daripada dia adalah sindiran, dia dengan berlagaknya boleh kmengelurakan ayat "selepas ini kau taipkan draf surat aku, kau kan tak ada kerja? ". Bukan ini sahaja insiden yang mebuat aku terasa. Pernah suatu masa, aku terpaksa membuat salinan akta sebab aku diminta oleh Timbalan Pendaftar Mahkamah Tinggi membuat 3 salinan akta sebagai rujukan kes yang bakal didengar oleh Y.A Hakim Mahkamah Tinggi. Ada seorang pegawai wanita yang kononnya ditugaskan untuk menyelia aku (dan dia adalah dari gred L juga) , menuduh aku menutup perpustakaan diwaktu operasi. Ya aku mengaku aku menutup perpustakaan, sebab aku pergi membuat salinan di aras 2 di bilik cetak. Perpustakaan tidak disediakan dengan mesin cetak, dan setiap kali kalau aku membuat salinan aku akan menutup perpustakaan sebab aku tidak ingin mengambil risiko di atas kehilangan buku-buku nanti. Namun belum sempat aku menerangkan situasi sebenar, dia dengan mudah memberikan pertuduhan kepada aku. Ya, dia seorang majistret dan memang tugas dia untuk menjatuhkan hukuman. Bagi mereka semua aku ini adalah kakitangan YANG BERMASALAH, tanpa berjumpa dan menanyakan aku kenapa sesuatu perkara itu terjadi. Aku bertambah geram apabila printer yang disediakan oleh Perpustakaan Mahkamah Persekutuan kepada semua stesyen-stesyen seluruh negara boleh diambil sesuka hati mereka dari perpustakaan. Sedangkan aku telah memberitahu bahawa printer tersebut adalah hak perpustakaan dan bukannya hak Mahkamah. Namun sehingga catatan aku ini ditulis, ia terus menjadi hak mereka selamanya.

Sememangnya aku terlalu tertekan, apa yang aku lakukan semua tidak betul di pandangan mereka yang bergred L ini. Pernah sebab terlalu khusyuk memasukkan data ke dalam Sistem ILMU ada seorang pegawai ini mengatakan aku sibuk melayari internet. Sekiranya mereka ingin tahu, PERPUSTAKAAN MAHKAMAH TINGGI MIRI ADALAH SATU-SATUNYA DIANTARA PERPUSTAKAAN MAHKAMAH YANG MEMASUKKAN DATA DALAM SISTEM DI SARAWAK INI. Sekiranya kalian ingin tahu, sistem ILMU baru sahaja dilaksanakan pertengahan tahun 2008 di perpustakaan perundangan. Untuk itu, aku terpaksa memasukkan setiap data buku-buku yang terdapat di dalam perpustakaan. Aku hanya memiliki dua tangan sahaja, dan aku tidak akan mampu membuat kesemua tugas dalam satu masa sebab AKU SORANG! Susah sangat ke golongan-golongan cerdik pandai sehingga menjadi pegawai perundangan ini untuk memahami?

Disebabkan tekanan kerja aku ini, aku mengalami tekanan darah tinggi, kemurungan, aku menjadi malas, aku tertekan dan sehingga aku pernah membuat kerja yang bodoh iaitu berniat untuk membunuh diri. Nasib baik lah aku masih waras dan mampu berfikir, sekiranya tidak, aku rasa aku tidak ada disini untuk menulis catatan ini. Tanpa sebarang notis, gaji aku dibekukan selama dua bulan sehingga hari ini. Salah aku, sebab aku mengambil cuti tanpa memberitahu pihak pentadbiran. Apa yang perlu aku lakukan sekarang? Aku pernah memohon ditukarkan ke Perpustakaan Negara Malaysia, namun tiada jawapan sedangkan pertukaran tersebut adalah pertukaran suka sama suka. Aku pernah memikirkan untuk berhenti kerja, tetapi ibu menasihati agar aku tabah. Tapi aku dah tidak mampu lagi. Sampai bila aku harus bekerja di dalam suasana yang begitu menekankan emosi dan mental aku? AKU BOLEH JADI GILA! Aku sekarang semakin susut berat badan aku. Aku banyak berkurung di dalam bilik, aku dah tidak lagi bergaul dengan kawan-kawan seperti dahulu.

Mungkin ramai yang menanyakan mengapa aku tidak cuba meluahkan masalah aku kepada kawan-kawan? Aku tidak memiliki kawan dan aku susah untuk mempercayai kawan. Mudahkan jawapan aku? Namun aku lega dapat berkongsi luahan aku disini. Mungkin dengan cara ini sahaja masalah aku difahami semua. Aku memerlukan pertolongan sebab aku sudah tidak berdaya lagi.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan