Selasa, 28 Julai 2009

Kelab Kesenian dan Kebudayaan SMK Batu Lintang (Seri Lintang) 1991-1996 : Tinggal Satu Kenangan


Kelab Kesenian dan Kebudayaan SMK Batu Lintang : Halina Lim, Florence Dahlia, Shanty Pero, Dexter Eng, David Neo, Freddy, Joyce Bulan, Iswandy, Zahir, dan Christine

Melihat gambar ini membuatkan diri aku rindu untuk kembali aktif dalam bidang tarian. Rasanya hampir 10 tahun aku tidak menari (kalau setakat untuk jabatan kat tempat kerja tu tak payah lah nak kira, setakat persembahan kecil saje).

Kelab Kesenian dan Kebudayaan SMK Batu Lintang (Seri Lintang) pernah menjadi nama yang begitu gah dan disegani di daerah Kuching. Seri Lintang berdiri sama hebat dengan SMK Tun Abg Hj Openg (Seri Openg), SMK Green Road, SMK Bandaraya Kuching dan SMK Sg Tapang (ketika itu hanya antara 5 sekolah ini sahaja yang akan merangkul Johan, Naib Johan dan tempat Ke-3). Dalam tempoh 5 tahun (1991-1996), Kumpulan Seri Lintang telah banyak mencatat sejarah nya tersendiri. Bermula dengan Johan Festival Tari Sekolah-sekolah anjuran Kampung Budaya pada tahun 1992, dan Festival tari ini adalah yang pertama dipertandingkan. Dalam tahun yang sama juga Kumpulan Seri Lintang diberi tanggungjawab sebagai wakil Borneo mewakili Malaysia ke Pertukaran Kebudayaan Pelajar-pelajar Malaysia - Jepun yang berlangsung di Negara Matahari Terbit itu. Dari tahun 1991-1996 juga kumpulan Seri Lintang tidak pernah ketinggalan membuat persembahan di Permainan Perbatasan Malaysia - Indonesia bersama-sama Kumpulan Seri Openg.

Naib Johan Pertandingan Wirawan Seni Remaja EON Kebangsaan 1993 (Kategori Tarian)

Pada tahun 1993 melakar satu lagi kenangan baru apabila Kumpulan Seri Lintang berjaya mewakili Sarawak ke Pertandingan Wiraman Seni Remaja EON Kebangsaan dan merangkul Naib Johan. Walaupun sekadar naib johan namun itu adalah pertandingan kebangsaan yang pertama disertai oleh Kumpulan Seri Lintang. Pada tahun itu juga, kumpulan ini diberi kepercayaan untuk mempersembahkan 2 tarian iaitu Tarian Iban dan Tarian Orang Ulu sempena Sambutan Hari Guru Peringkat Kebangsaan di Stadium Perpaduan Kuching. Serta membuat persembahan ketika Konvensyen Pengetua-pengetua dan Guru Besar-guru besar Kebangsaan di Kuching. Tahun 1993 bersemperna dengan Sambutan Hari Kebangsaan Peringkat Kebangsaan yang diadakan di Kuching, kumpulan ini diberi kepercayaan untuk turut serta di dalam pementasan Muzikal Teater "THE KING AND I" yang melibatkan 5 buah sekolah iaitu SMK Batu Lintang, SMB St. Thomas, SMB St. Mary, SMB St. Teresa dan Lodge School. Produksi teater muzikal ini dibawa khas daripada England dan dipersembahkan dihadapan DYMM Yang di-Pertuan Agong, TYT Yang di-Pertua Negeri Sarawak, Perdana Menteri, Ketua Menteri dan jemaah-jemaah menteri kabinet. Dalam tahun yang sama di Festival Tari Sekolah-sekolah anjuran Kampung Budaya Sarawak, Kumpulan Seri Lintang tidak menyertainya namun kami dijemput untuk mengadakan persembahan di majlis penyampaian hadiah. Tahun itu menyaksikan SMK Tun Abg Hj Openg merangkul kejuaraan.

Johan Pertandingan Wirawan Seni Remaja EON Kebangsaan 1994 (Kategori Tarian)

Johan Festival Tari Antara Sekolah-sekolah anjuran Kampung Budaya Sarawak 1994 (Kategori Sekolah Menengah)

Pada tahun 1994, SMK Batu Lintang kembali semula mewakili Sarawak ke Pertandingan Wirawan Seni Remaja EON kebangsaan dimana pada tahun ini Sarawak menjadi Johan Kategori Tarian. Dan dalam tahun yang sama di Festival Tari Sekolah-sekolah anjuran Kampung Budaya Sarawak, SMK Batu Lintang dinobatkan sebagai Johan kategori Sekolah Menengah yang menyaksikan SMK Tun Abg Hj Openg (Naib Juara) dan SMK Sg. Tapang (Tempat Ke-3) dengan SMK Petra Jaya mendapat Anugerah khas Juri. Dan di pertandingan yang sama, perkara yang tidak boleh dilupakan apabila SMK Tun Abg Hj Openg memulakan kebakaran dibelakang pentas. Dalam tahun yang sama kumpulan Seri Lintang diberi kepercayaan membuat persembahan ketika perasmian RAKAN MUDA, RAKAN SENI BUDAYA perigkat Kebangsaan yang diadakan di Kuching.

Tahun 1995, di Festival Tari Sekolah-sekolah anjuran Kampung Budaya Sarawak menyaksikan yang SMK Batu Lintang mendapat tempat ke-3 dimana Johan adalah SMK Tun Abg Hj Openg. Mengikut juri-juri hakim dan Ketua Hakim yang terdiri daripada Pensyarah Akademi Seni Kebangsaan (sekarang ASWARA), tarian SMK Batu Lintang dan Kostum terlalu MALAYSIA dan bukan menampilkan keaslian negeri Sarawak. Pada tahun itu juga SMK Batu Lintang mewakili Kuching ke Pertandingan Tarian Sekolah-sekolah anjuran Kementerian Pelajaran di Sarikei, namun hanya mendapat Naib Johan.

Pada tahun 1996, kumpulan kami tidak menyertai mana-mana pertandingan memandangkan 90% penari adalah terdiri daripada pelajar-pelajar mengambil peperiksaan PMR, SPM dan STPM. Tahun itu juga menyaksikan guru pembimbing ditukarkan ke SMK Tun Abg Hj Openg. Namun kami tetap menerima jemputan untuk mengadakan persembahan di sekitar Bandaraya Kuching.

Kini Kelab Kesenian dan Kebudayaan SMK Batu Lintang hanya tinggal kenangan namun yang paling membanggakan 3 daripada penari-penari kami masih mencurahkan bakti dalam bidang ini. Cikgu Halina Lim dan Cikgu Shanty Pero mengajar serta memimpin Sekolah Seni Kuching, manakala Cikgu Iswandy memimpin SMK Pusa. Zahir Ahmad salah seorang penari kami juga menjadi penari Kumpulan Petra dan mengajar beberapa kementerian serta jabatan kerajaan di sekitar kuching dalam bidang tarian. Aku pula pertandingan terakhir yang saya sertai ialah pada tahun 2001 mewakili Kementerian Pelajaran di Pertandingan Sukan dan Kebudayaan Kementerian Pelajaran yang berlangsung di Kelantan. Namu yang pasti kebanyakkan pernari-penari sekolah sekarang dari kurus dah menjadi berisi.. hahaha.. Kumpulan Seri Lintang akan tetap di hati aku.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan